Portal berita terbaik anda

Politik

Isytihar harta bukti prinsip ketelusan PH – MB Perak

IPOH – Usul pengisytiharan harta melibatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendapatkan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam, menggambarkan pencapaian kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini dalam memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu juga merupakan kemenangan buat rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada PH pada pilihan raya umum lalu untuk kembali memacu kegemilangan negeri ini.

Katanya, beliau percaya langkah menegakkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan dalam kalangan wakil rakyat ini akan membuka lembaran kepada satu usaha baharu bagi memastikan pentadbiran kerajaan yang bersih dan berintegriti.

“Kita sedang membina semula negara ini di bawah semangat Malaysia Baharu demi perjuangan mewariskan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi akan datang.

“Ia juga adalah selari dengan amanat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membina sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat demi rakyat dan bukannya menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mencari kepentingan peribadi dan keluarga,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Kelulusan usul oleh DUN Perak semalam menjadikan Perak sebagai negeri pertama yang berbuat demikian mengikut jejak langkah Dewan Rakyat dan Dewan Negara di peringkat nasional.

Usul berkenaan diluluskan melalui undian suara selepas dibahaskan tanpa sesi pergulungan kerana usul tersebut didakwa bukan dibawa oleh pihak kerajaan, sebaliknya melalui ‘backbencher’ menerusi ADUN Pasir Bedamar dari DAP, Terence Naidu.

Dengan kelulusan usul berkenaan, ia bermakna kesemua 59 ADUN di negeri ini wajib mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam tempoh masa tiga bulan bermula hari ini sebelum 23 Oktober depan.

Sekiranya gagal mematuhi peraturan itu, mereka boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan negeri di bawah Perkara 72 yang mana sekiranya didapati bersalah, individu berkenaan boleh digantung selama enam bulan atau setahun, tertakluk kepada keputusan jawatankuasa tersebut. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply