Portal berita terbaik anda

Utama

Isu Rohingya: Ini pandangan bekas PM, Najib Razak

Najib Razak menyokong tindakan kontroversi pihak berkuasa menolak bot membawa pelarian Rohingya memasuki perairan Malaysia pada minggu lalu.

Najib menerusi catatan di Facebooknya turut mengecam mereka yang menggesa pelarian di Malaysia diberikan bantuan kerana komuniti itu turut terjejas akibat perintah kawalan pergerakan di seluruh negara bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, Malaysia sudah banyak membantu golongan minoriti itu.

“Inilah kata orang, sudah diberikan betis, nak paha pula.

“Kita tak zalim, tetapi sampai bila kita perlu tangani masalah ini yang bermula sejak 1990-an?” soalnya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, negara anggota Asean lain juga patut bertanggungjawab membantu pelarian Rohingya.

Kenyataannya menyusul komen xenofobia yang semakin bertambah di media sosial menyasarkan etnik itu, selepas rayuan aktivis untuk memberi bekalan makanan kepada puluhan ribu Rohingya yang tinggal di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dan Pusat Bandar Utara yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei ini.

Pihak berkuasa dilaporkan berkata, mereka menjangkakan kedutaan asing akan membantu warganegara mereka di kawasan PKPD.

Tetapi, Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh kerajaan Myanmar dan ada pihak bimbang komuniti itu akan kelaparan tanpa bantuan pihak berkuasa Malaysia.

Minggu lalu, 60 etnik Rohingya dilaporkan mati kelaparan dalam sebuah kapal pukat tunda yang sarat dengan ratusan pelarian Rohingya selepas pihak berkuasa Thailand dan Malaysia enggan membenarkan mereka memasuki perairan negara.

Keganasan terhadap Rohingya Islam, yang dianggap minoriti paling tertindas di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, menyebabkan ratusan ribu Rohingya melarikan diri ke negara jiran.

Dianggarkan 200,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia, tetapi mereka dinafikan pekerjaan sah kerana kerajaan tidak mengiktiraf mereka sebagai pelarian.

Loading...

Leave a Reply