Portal berita terbaik anda

Hiburan

Isu langgar SOP, Neelofa tampil mohon maaf

SELEPAS teruk dikecam gara-gara tidak sensitif dengan berkongsi foto dan video aktiviti bersantai ketika berada di Pulau Langkawi, selebriti Noor Neelofa Mohd Noor akhirnya tampil mengakui kesilapannya itu.

Kesal kerana menimbulkan rasa kurang senang orang ramai, Neelofa, 32, berkata dia sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

“Saya nak mohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti tentang hal ini.

“Ada banyak perkara yang saya terlepas pandang… saya sepatutnya memberi contoh yang lebih baik,” katanya menerusi rakaman video kepada mStar.

Tambah isteri kepada Pencetus Ummah (PU) Riz ini lagi, dia terbuka menerima sebarang tindakan daripada pihak berkuasa berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Saya seikhlas hati mohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan mahupun luar pengetahuan saya.

“Saya dan suami menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu Neelofa dan Riz atau Haris Ismail, 26, mengundang kemarahan ramai apabila dilihat seolah-olah menyalahgunakan kebenaran rentas negeri ke Langkawi.

Perkongsian aktiviti bersantai di pulau peranginan itu dilihat bercanggah dengan tujuan asal mereka ke sana yang dikatakan atas urusan kerja.

Selain itu polis juga membuka kertas siasatan selepas timbul kekecohan bahawa majlis pernikahan mereka yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan, Neelofa berkata anggota keluarga kedua-dua belah pihak selesai memberi keterangan kepada polis.

“Alhamdulillah akhirnya selesai… saya dan keluarga saya serta suami dan keluarganya hadir di IPD Dang Wangi untuk beri kerjasama dan juga keterangan untuk membantu siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Neelofa dan Riz diijabkabul pada 27 Mac lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Loading...

Leave a Reply