Portal berita terbaik anda

Utama

Isu bayaran wang ihsan modal pembangkang tanam kebencian – Guan Eng

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan kesal apabila isu pembayaran wang ihsan dan wang pendahuluan kepada kerajaan Kelantan, kini digunakan pembangkang untuk menanam sentimen kebencian terhadap pemimpin Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata sebelum ini bayaran wang ihsan diberi secara tahunan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan sebuah entiti Kerajaan Persekutuan secara 50:50.

Selepas peralihan kuasa pada 9 Mei 2018, katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk membuat bayaran wang ihsan bahagian 50 peratus itu, bukan kepada entiti Kerajaan Persekutuan, tetapi terus kepada kerajaan Kelantan.

“Maka buat pertama kalinya mulai 2019, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan bayaran wang ihsan kepada kerajaan Kelantan dengan bayaran terkini pada September 2019.

“Bayaran wang ihsan juga telah diawalkan kepada September 2019, sedangkan pembayaran dijadualkan pada Januari 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, bayaran wang ihsan dan perkara perihal petroleum serta Petronas bukanlah di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan, sebaliknya Perdana Menteri.

“Adalah dikesali pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan kebencian dan memainkan sentimen dengan melontarkan fitnah bahawa saya cuba menghalang pembayaran dilakukan, walaupun hakikatnya pembayaran dibuat atas arahan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob telah mengesahkan bayaran wang ihsan kepada Kelantan telah disalurkan sebanyak RM15.75 juta pada 18 September 2019.

“Supaya mengelakkan terperangkap dalam kemelut perundangan, Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran dalam bentuk wang ihsan kepada kerajaan Kelantan, namun perkiraannya adalah berasaskan 5 peratus daripada hasil petroleum bagi menentukan bayaran.

“Sukar difahami bagaimana kerajaan Kelantan hari ini menganggap pihak yang sebelum ini tidak menyalurkan bayaran wang ihsan kepada negeri itu sebagai rakan setia, tetapi Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan bayaran wang ihsan secara langsung kepada kerajaan negeri dianggap musuh ketat,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng menegaskan komitmen untuk membantu kerajaan Kelantan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, sungguhpun berdepan pelbagai cemuhan dan fitnah.

Katanya, Kerajaan Persekutuan komited membantu negeri itu yang menghadapi masalah kewangan.

Beliau menjelaskan, dalam surat 12 September 2019, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan telah sekali lagi memohon bantuan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk wang pendahuluan, untuk memenuhi obligasi perbelanjaan operasinya, termasuk membayar gaji dan emolumen anggota pentadbiran negeri.

“Sehubungan itu, saya telah meluluskan permohonan pendahuluan sebanyak RM100 juta pada 14 Oktober 2019, untuk membantu Kerajaan Kelantan membiayai perbelanjaannya termasuk pembayaran gaji anggota pentadbirannya sehingga hujung tahun 2019.

“Wang pendahuluan RM100 juta bukan kali pertama Kerajaan Kelantan membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan yang baharu untuk membantu bayar gaji warga perkhidmatan kerajaan negeri.

“Pada tahun 2018, permohonan wang pendahuluan sebanyak RM91.5 juta untuk membayar perbelanjaan operasinya termasuk gaji anggota kerajaan negeri Kelantan juga telah diluluskan.

“Diharapkan dengan adanya wang ihsan dan pendahuluan ini dapat membantu mengukuhkan kedudukan kewangan negeri, seterusnya meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat Kelantan,” katanya.

Semalam, kerajaan Kelantan menafikan menerima pembayaran royalti petroleum daripada Kerajaan Pusat, sebaliknya sebanyak RM15.7 juta yang diterima pada 17 September lalu adalah wang ihsan.

Menteri Besar Kelantan dilaporkan berkata, wang ihsan dan pembayaran royalti adalah dua perkara berbeza dan apa yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri adalah pembayaran royalti petroleum.

Loading...

Leave a Reply