Isteri MB Terengganu nyaris ditipu Macau Scam

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini berkongsi kisah isterinya nyaris menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Beliau berkata, isterinya, Toh Puan Seri Tuan Faizah Abd Rahman, menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali bertanyakan sama ada pernah menggunakan perkhidmatan kereta pandu sendiri ketika berada di ibu negara.

“Individu itu tidak memperkenalkan diri. Isteri yang menyedari cuba diperangkap ahli sindiket Macau Scam spontan menjawab pernah menggunakan khidmat kereta sewa pandu sendiri dan memandu kenderaan itu hingga ke London.

“Bagaimanapun individu itu kemudian memutuskan talian telefon selepas usahanya mendapatkan nombor akaun dan butiran kad bank gagal.

“Sindiket ini tidak mengira sesiapa kerana mangsanya bukan sahaja daripada golongan biasa, tetapi juga kalangan profesional malah pelajar universiti juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Laterasi Kewangan di Kompleks Muzium negeri, di sini, hari ini yang turut dihadiri Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya dan Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Datuk Lat).

Laterasi Kewangan ialah pameran karikatur hasil karya tersendiri Datuk Lat dari 1999 hingga 2012 yang diterbitkan dalam 14 siri Buku Wang Saku keluarga Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyemai tabiat menabung dan mengurus wang secara berhemah sejak usia muda.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri mahu masyarakat terutama mangsa sindiket berkenaan berperanan membantu meningkatkan kesedaran terhadap kegiatan itu yang kini semakin berleluasa.

Beliau berkata walaupun wujud penguatkuasaan dan tindakan undang-undang terhadap penjenayah itu, masyarakat perlu memainkan peranan bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

“Kecanggihan sistem kewangan secara tidak langsung melahirkan satu sindiket dikenali sebagai Love Scam.

“Ahli sindiket itu berkemahiran dalam sistem kewangan dengan menggunakan kemahiran mencuri wang tanpa menggunakan kekerasan daripada mangsa.

“Kita harap Bank Negara dan agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia terus memantau dan mengambil tindakan bagi mengelak lebih ramai rakyat menjadi mangsa sindiket berkenaan.

“Namun, masyarakat terutama yang pernah menjadi mangsa sindiket itu juga tidak sepatutnya berdiam diri, sebaliknya boleh memainkan peranan memberi peringatan dan nasihat kepada masyarakat setempat bagi mengelak daripada menjadi mangsa,” katanya.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *