Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Isteri Ketua MCA Besut maut nahas

JERTIH – Isteri Ketua MCA Bahagian Besut, Lee Chan Fook maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di Kampung Padang Luas, di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, Lua Siew Khim, 51, dari Jalan Bukit Mok Mek, di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan, berkata ketika kejadian, pemandu Perodua Axia berusia 31 tahun itu dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh, Kelantan menuju ke pusat bandar.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang juga seorang suri rumah dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan lelaki itu tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa.

“Akibat kejadian mangsa mengalami cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan itu yang juga seorang peniaga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Abd Razak berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Loading...

Leave a Reply