Isteri hilang sejak semalam, rupanya mati dibnuh jiran sendiri

SUBANG JAYA – Terdesak mahu mendapatkan wang bagi menjelaskan hutang, seorang wanita penjual kuih warga Indonesia tergamak menghentak rakan senegaranya hingga mati di Pangsapuri Angsana USJ 8, di sini, petang Isnin lalu.

Kejadian berlaku pada 4 petang ketika suspek berusia 39 tahun itu menghubungi mangsa untuk meminta bantuan mengangkat anaknya kerana tangannya cedera.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima laporan daripada suami mangsa pada 12 tengah malam kelmarin.

Beliau berkata, suspek adalah jiran mangsa yang juga pembuat kuih dan mereka mengenali antara satu sama lain.

“Pada 6 petang semalam, suspek mengaku membunuh mangsa sebelum menunjukkan lokasi mayat mangsa disembunyikan di bawah katil di rumahnya pada 8 malam tadi.

“Siasatan mendapati mangsa dihentak menggunakan tangan hingga terjatuh dan suspek terus menghentaknya dan ketika kejadian, dua anak suspek yang masih kecil berada di rumah,” katanya pada sidang media, tengah malam ini.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek terdesak untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang kepada pihak ketiga berjumlah RM5,000.

Katanya, ketika ditemui mayat mangsa berusia 54 tahun dibalut dengan selimut dan terdapat pendarahan di bahagian kepala.

“Suspek ditangkap dan polis turut menahan suami kepada suspek berusia 48 tahun yang bekerja sebagai kru produksi untuk membantu siasatan.

“Kita sedang menyiasat sama ada suami suspek terbabit dan akan menyiasat perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek akan direman, hari ini.

Loading...

Leave a Reply