Portal berita terbaik anda

Viral

Ibu bersalin, lepas ini jangan tanya doktor ‘berapa banyak jahit’ lagi dah

“Berapa banyak jahit, doktor?” Dia bertanya setelah proses jahitan berhenti seketika. Jarum berbentuk bulan sabit diketap kuat menggunakan needle holder di tangan kanan.

“Kraaaap!” Bunyi yang sungguh enak kedengaran. “Err… tak tahu nak kata berapa banyak. Tapi, banyak lah, puan.” Dalam kerut muka, saya membalas pertanyaannya.

Kemudian, sambung menjahit luka yang hampir sempurna. Dalam kepala, masih ligat berfikir jawapan bagi menjawab persoalan dia.

“Kenapa puan tanya macam tu?”

“Oh… tak ada apa pun doktor. Nak tahu je. Senang la nak jawab nanti kalau ada makcik-makcik tanya.”

Erk! Macam tu rupanya! Ingatkan apa lah yang penting sangat, puan. Nak jawab soalan acik-acik bawang rupanya. Saya tepuk dahi dalam hati.

Sampailah suatu hari, saya cuba tanya kepada seorang kakak misi. “Kak, kalau patient tanya berapa banyak jahit, kak jawab macam mana?” Dia garu kepala.

“Eee… Tak tahulah doktor… Kak pun pening bila patient tanya macam tu. Entah dia ingat kita boleh kira ke apa?”

Saya tergelak mendengar jawapan dia. Entah kenapa soalan ini akan menjadi satu persoalan misteri oleh kebanyakan ibu yang baru sudah bersalin.

Berapa Banyak Jahitan

Itulah Yang Dirisaukan

Kami, doktor dan para misi, sejujurnya akan keliru sekiranya ditanya soalan misteri ini.

Ibaratnya nak tahu macam mana?

Kita pergi tanya tukang jahit,
“Berapa banyak jahit ya seluar yang koyak tu?”

Hah! Kan dah pening nak jawab!

Bukannya tukang jahit tu kira berapa banyak yang dia jahit. Selagi dia nampak ada tempat yang koyak, selagi tu dia akan jahit. Pokok pangkalnya, ikut suka hati dia.

Macam itulah juga jahit tempat ‘koyak’ manusia. Boleh jadi, walau luka hanya sebahagian kecil, kita jahit berkali-kali. Melainkan memang nyata hanya memerlukan satu, dua jahitan sahaja. Itu lainlah cerita.

Sebenarnya, tentang luka di bahagian perineum seorang wanita bersalin ini memang amat diambil kisah oleh kami yang bekerja dalam bidang ini.

Cuma, bukan berapa banyak jahitan yang penting untuk kami ambil tahu. Tetapi, “tahap kedalaman”. Itulah yang kami titikberatkan.

Kedalaman luka atau koyak di bahagian kulit luar faraj (perineum) ada beberapa tahap. Tahap satu, hingga tahap empat pun ada.

Secara ringkas saya boleh cerita,

Tahap satu
Itu luka yang melibatkan bahagian kulit perineum sahaja.

Tahap dua
Luka telah melibatkan otot pula, tetapi masih di bahagian perineum.

Tahap tiga
Kedalaman telah melibatkan otot pada bahagian dubur. Istilahnya mediknya, external & internal anal sphincter. Bermula tahap ini, jahitan perlu dibuat di dalam dewan bedah.

Tahap empat
Koyakan sehingga ke usus bahagian bawah yang menyimpan najis. Itulah yang dipanggil ‘rectum’.

Dalam tahap tiga dan empat, kebiasaannya pesakit akan mengalami masalah untuk kemut.

Sebab itu jangan pelik apabila sesudah siap jahit, doktor akan masukkan jari dalam lubang najis dan suruh cuba kemut. Tujuannya adalah untuk tahu sama ada otot di bahagian dubur berfungsi dengan baik atau tidak.

Jadinya selepas ini, boleh cuba tukar soalan kepada berapa kedalaman luka. Bukannya, “Berapa banyak jahit ya?”

Tolong sampaikan ilmu penting ini kepada ahli keluarga dan geng mak-mak yang sedang berbadan dua supaya nanti dapat soal dengan ilmu yang penuh di dada.

Sekian.

Sumber: Dr Nur Hanisah

Loading...

Leave a Reply