Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Ibu, bayi 5 bulan maut kereta langgar pokok

KLUANG – Seorang wanita bersama bayinya maut manakala suami dan seorang lagi anak mereka cedera parah selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Kilometer 74.3 Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, jam10.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata mangsa, 25, bersama bayinya berusia lima bulan, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan kepala.

Suaminya berusia 40 tahun yang juga pemandu kereta Perodua Myvi dinaiki, serta anak lelaki mereka berusia enam tahun mengalami kecederaan patah kaki kiri.

“Kejadian berlaku ketika keluarga empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam menuju ke arah Simpang Renggam sebelum terlibat dalam kemalangan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan, dipercayai berlaku apabila kereta Produa MyVi dipandu lelaki berusia 40 tahun itu cuba mengelak sebuah kenderaan di sebelah kanan jalan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di tepi kiri jalan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Hang Seng berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa serta bayinya yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Semua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk proses bedah siasat dan rawatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...

Leave a Reply