Ibu bapa mengadu harga kasut sekolah mahal

KULIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menerima aduan daripada orang ramai berhubung kenaikan harga kelengkapan persekolahan terutamanya kasut sekolah menerusi talian aduan kementerian itu sejak kebelakangan ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehubungan itu beliau telah meminta bahagian penguatkuasa menyiasat perkara itu bagi mengesahkan sekiranya benar berlaku peningkatan harga barangan persekolahan berkenaan sebelum tindakan lanjut dikenakan.

“Sebab aduan itu spesifik sebab dia beritahu tempat mana, negeri mana, kedai mana, kemudian kita sahkan autoriti pengadu supaya jangan ada penganiayaan,” katanya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kelengkapan persekolahan peringkat Parlimennya di Sekolah Kebangsaan Terap dekat sini hari ini.

Saifuddin berkata, berdasarkan aduan itu orang ramai mengadu harga kelengkapan persekolahan itu naik antara 15 hingga 20 peratus. – Bernama

Loading...

Leave a Reply