Portal berita terbaik anda

Utama

Hutang negara bertambah kerana 1MDB, kata Guan Eng

KUALA LUMPUR – Tambahan hutang sebanyak RM58 bilion yang dibuat kerajaan pada separuh pertama tahun ini sebahagiannya adalah untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan perbelanjaan meneruskan projek yang dibuat kerajaan sebelum ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan terdahulu menyembunyikan hutang 1MDB dan hanya selepas kerajaan baharu mengambil alih barulah rakyat tahu mengenai hutang berkenaan.

“Sebarang tambahan hutang yang dibuat kerajaan adalah untuk meneruskan komitmen sedia ada yang telah pun dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

“Perlu diingatkan juga yang kerajaan pada masa ini masih perlu membayar hutang 1MDB,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pusat perusahaan sosial Destination: Good oleh Yayasan AirAsia di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching.

Beliau mengulas mengenai kenyataan seorang ahli ekonomi yang dilaporkan sebuah portal tempatan yang mendesak kerajaan supaya memperlahankan perbelanjaannya, dengan memetik angka daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kerajaan telah meminjam RM58.1 bilion pada separuh pertama tahun ini.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Barjoyai Bardai, berkata angka itu menunjukkan yang hutang kerajaan persekutuan telah meningkat daripada RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 kepada RM799.1 bilion ketika ini.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, dari segi peratusan, keseluruhan hutang kerajaan termasuk liabiliti kontingen dan jaminan kerajaan telah berjaya diturunkan daripada 80 peratus kepada 75 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, kerajaan amat terbuka dan telus dan kerana itu mendedahkan perkara yang sebenar mengenai hutang kerajaan, bukan saja hutang langsung tetapi juga liabiliti kontingen dan jaminan kerajaan.

“Di sebalik keterbukaan ini, agensi penarafan kredit antarabangsa terus percaya dan tidak menurun taraf penafaran kredit negara, yang mana adalah petunjuk positif.

“Saya fikir prestasi ekonomi negara setakat ini telah menunjukkan yang ia bukan saja telah berjaya mengatasi jangkaan, tetapi pelabur juga terus datang ke sini,” katanya.

Ditanya mengenai pelaksanaan levi pelepasan sama ada akan diteruskan atau tidak, Guan Eng berkata pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

“Biarkan beliau (Loke) buat pengumuman ini. Kita tidak mahu mencampuri urusan kementerian lain dan biarkan kementerian berkaitan yang mengumumkannya,” katanya.

Loading...

Leave a Reply