Portal berita terbaik anda

Utama

HSR terlalu laju, Mahathir minta kurangkan sedikit

PUTRAJAYA – Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang ditangguhkan sebelum ini kemungkinan diteruskan tetapi pada kelajuan dan perbelanjaan yang lebih rendah, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata demikian selepas projek Bandar Malaysia diteruskan dengan pemeteraian suatu urus niaga dengan syarikat China, IWH-CREC Sdn Bhd hari ini.

“Kita akan meneruskannya tetapi kita perlu mencari kelajuan yang sesuai,” katanya selepas majlis pemeteraian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menurut Mahathir, kelajuan kereta api sehingga 400km/j bukan satu keperluan. “Projek HSR merupakan satu projek yang menelan belanja tinggi.”

Projek yang diumumkan pentadbiran lepas pada Sept 2010 itu digantung sejak 5 September tahun lepas dalam perjanjian tambahan yang dimeterai dengan Singapura.

Ia ditangguhkan selepas pentadbiran semasa mengkaji situasi ekonomi negara.

Kementerian Kewangan mengesahkan kepada Dewan Rakyat bahawa perkiraan kos keseluruhan projek HSR mencecah RM110 bilion.

Dalam pelan asal, projek dengan laluan sepanjang 350km dengan beberapa hentian di negeri-negeri selatan Semenanjung dan berakhir di Jurong Timur di Singapura akan memendekkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke republik itu kepada 90 minit.

Loading...

Leave a Reply