Portal berita terbaik anda

Utama

Hero Pulau Warisan dapat Anugerah Wira Darul Iman

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengotakan janjinya untuk memberi anugerah Wira Darul Iman kepada Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd. dan lima lagi individu yang sanggup berkorban demi menyelamatkan lima sekeluarga dalam tragedi kenderaan terjunam ke dalam sungai Terengganu di Pulau Warisan di sini Jumaat lalu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengumumkan perkara itu berkata, anugerah itu akan diberikan kepada mereka berkenaan pada malam perasmian Himpunan Belia dan Beliawanis Terengganu di Stadium Negeri di sini, 22 Februari ini.

Beliau memberitahu, anugerah tersebut berupa sijil penghargaan serta insentif kewangan kepada kesemua enam individu terlibat sebagai penghargaan khas bagi mengenang jasa dan pengorbanan besar mereka menyelamatkan nyawa lima sekeluarga dalam kejadian itu.

Mereka ialah Allahyarham Abdul Bari Asyraf, 31, Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28; Saiful Anuar Mohd., 37; Mohd. Amiro Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Shahrul Mizan Harun, 34.

“Mesyuarat EXCO Kerajaan negeri sebentar tadi membincangkan perkara ini dan telahpun bersetuju memberi anugerah Wira Darul Iman kepada Allahyarham Abdul Bari dan juga lima lagi individu yang turut sama membantu selamatkan mangsa.

“Mereka akan terima sijil penghargaan serta insentif kewangan namun Allahyarham Abdul Bari akan dapat lebih insentif berbanding yang lain. Apa yang kita laksanakan ini dengan sendirinya akan jadi contoh dan dorongan kepada orang lain untuk membantu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam kejadian cukup tragik kira-kira pukul 9.45 malam itu, Abdul Bari Asyraf adalah antara enam individu yang bertindak nekad terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan lima sekeluarga setelah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan.

Lima sekeluarga yang berjaya diselamatkan itu ialah Suryati Rusly, 37, Nordiana Alwani Jaafar, 33, Asmaa Rusly, 23, Shafawani Jaafar, 11, dan Iman Nur Hana Luthfia Mohd. Amiruddin yang berumur tiga tahun. UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply