Portal berita terbaik anda

Utama

Henti lakukan perkara jejaskan ketenteraman awam

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya menghentikan serta merta semua bentuk tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan termasuk perhimpunan aman.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas mana-mana penganjur dan peserta perhimpunan yang bertindak dalam apa juga cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Ujarnya, selain itu, amaran ini turut diberikan kepada semua pihak berkenaan supaya tidak memainkan isu sensitif yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

“Sejak kebelakangan ini, terkesan isu sensitif dimainkan pihak tidak bertanggungjawab di pelbagai platform komunikasi dan laman sosial.

“Tindakan itu jelas sekali mampu mengganggu gugat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid memberitahu, sebanyak 69 laporan polis berhubung isu bendera diterbalikkan telah diterima pihaknya dengan sembilan kertas siasatan sudah dibuka.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

“Kesemua kes masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.

“Berhubung isu ceramah pendakwah bebas, Dr Zakir Naik pula, sehingga kini sebanyak 515 laporan diterima dan sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” jelasnya.

Tambah Abdul Hamid, beberapa saksi berkaitan sudah dipanggil memberi keterangan, siasatan hampir dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

“Larangan daripada meneruskan sebarang aktiviti ceramah sehingga siasatan selesai juga dikeluarkan dan Dr Zakir akur dengan arahan untuk tidak lagi meneruskan siri jelajah atau ceramah di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid menambah, sebanyak 24 laporan polis diterima berhubung isu tulisan khat atau jawi dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan oleh USJT Bukit Aman.

“Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim dan Setiausaha persatuan, Ng Chai Heng sudah dipanggil untuk dirakam percakapan dan kes masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply