Portal berita terbaik anda

Utama

‘Harap kepala adik ditemui’

“SAYA harap kepala adik dapat ditemui, namun ibu di kampung memberitahu mereka tidak kisah walaupun hanya badan dapat dibawa pulang,” kata Khaliluddin Akhbar Ali, 43.

Khaliluddin adalah abang kandung kepada Md Abdul Jalil, 34, mangsa ketujuh kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Georgetown yang mayatnya ditemui tanpa kepala, semalam.

Dia yang datang dari Kuala Lumpur dengan bas untuk hadir ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown, hari ini, bagi membuat pengecaman dan menuntut jenazah adiknya itu.

Menurutnya, pada hari kejadian dia ada menghubungi adiknya itu melalui telefon bimbit, namun semua panggilannya masuk ke peti rakaman suara.

“Berpuluh-puluh panggilan saya buat namun semuanya masuk ke peti rakaman suara hingga baki nilai prabayar saya habis.

“Ketika itu saya sudah rasa tidak sedap hati dan tidak lama kemudian beberapa rakan sekampung yang berada di sini menghubungi dan memaklumkan adik saya kemungkinan tertimbus dalam runtuhan itu,” katanya.

Menurutnya, sebaik mayat adiknya ditemui, dia menghubungi ibu dan adik iparnya di kampung untuk memaklumkan kejadian.

“Ibu terus menangis tidak berhenti ditambah lagi apabila mendapat tahu mayat adik ditemui tanpa kepala.

“Bagaimanapun, ibu tetap mahu jenazah dibawa pulang walaupun kepalanya tidak ditemui kerana mahu melihat susuk tubuh adik,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya dua beradik dan kali terakhir arwah pulang ke kampung tiga tahun lalu.

“Sepatutnya, adik pulang tahun ini untuk melihat ibu, isteri serta anak perempuan yang berusia 12 tahun, namun apakan daya dia terkorban dalam tragedi ini.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya walaupun hanya jasadnya yang dibawa pulang,” katanya.

Loading...

Leave a Reply