Portal berita terbaik anda

Utama

Hanya jual ayam goreng RM1, peniaga ini raih pendapatan RM15,000 sebulan

Gagal sekali tidak bermakna anda tidak akan berjaya sampai bila-bila.
Ini kerana kegagalan itulah yang mengajar anda untuk menjadi lebih berjaya pada masa depan.

Sama seperti seorang peniaga ayam viral di Keramat yang mempunyai kisahnya tersendiri sebelum memperoleh pendapatan RM15,000 sebulan.

Menurut pemilik ayam viral, Mat Tohid Abdul Kadir, 38 dan isterinya Nur Razlin Ramli 33, mereka sentiasa memikirkan bisnes makan yang mampu dibeli orang ramai.

Ini kerana perniagaannya sebelum ini iaitu ayam golek tidak menjadi dan akhirnya tutup begitu sahaja.

“Memang orang nak makan ayam golek, tapi bukan nak makan banyak, dan sekarang orang susah nak keluarkan duit sehingga RM10.

“Dulu tak macam sekarang, ekonomi kita tak stabil. Dulu ramai makan gaji tetap tetapi sekarang ramai lagi yang menjual dari membeli,” katanya kepada FMT.

Belajar daripada pengalaman tersebut, Tohid mula memikirkan perniagaan lain yang lebih relevan selaras dengan ekonomi yang tidak stabil.

“Bila bercakap tentang RM1, orang mungkin tidak berkira untuk mengeluarkannya membeli makanan. Ambillah 4 atau 5 ketul, mereka masih merasakan yang ayam itu murah dan mampu milik,” katanya.

Sejak 2017 memulakan perniagaan, Tohid turut berkata terdapat cabaran yang perlu dilalui untuk membolehkan mereka bertahan sehingga kini.

“Di sini terdapat tiga perniagaan yang sama seperti kami, namun alhamdulillah pelanggan masih setia bersama kami.

“Setakat ini kami boleh menjual 70 ke 80 ekor sehari, ada pernah mencecah 100 ekor sehari, dan ia membolehkan kami peroleh pendapatan RM15,000 pada waktu itu,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun ia bergantung pada musim dan bukannya sentiasa mendapat keuntungan seperti yang difikirkan orang ramai.

“Orang dengar RM15,000 itu besar, tapi selepas menolak modal dengan harga ayam tidak menentu setiap hari, kami hanya mendapat untung bersih purata RM500 ke RM700 sehari, itu pun sebenarnya tidak tentu,” katanya lagi.

Memikirkan permasalahan kini yang memang ramai tiada pekerjaan, Tohid berkata masyarakat khususnya anak muda tidak boleh terlalu memilih pekerjaan dan harus mencari jalan untuk memperoleh pendapatan sebaiknya.

“Jangan rasa hina dan geli dengan kerja berniaga tepi jalan, kalau itu sahaja yang anda mampu, teruskan.

“Itu lebih baik daripada anda langsung tiada wang di tangan,” ujarnya lagi.

Setakat ini perniagaan ayam viral mereka dibuka setiap Isnin sehingga Jumaat bermula 11 pagi sehingga petang.

Selain ayam RM1, pelbagai jenis ayam berperisa turut dijual, termasuklah ayam berkeju dan Spicy Korean Chicken.

Pada hari minggu mereka hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak yang selama ini masa tersebut “dicuri” ketika Tohid bekerja sebagai pemandu lori.

Loading...

Leave a Reply