Portal berita terbaik anda

Utama

Gugur lagi air mata Yaya

AIR mata kanak-kanak yang dipercayai ditinggalkan ibu bapanya, Yaya, 4, mengalir ketika diserahkan anggota polis kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan sementara, semalam.

Dia ditemui berkeliaran seorang diri di gerai makan medan selera di Menara U2, Seksyen 13 di sini, petang Ahad lalu sambil mencari kedua-dua ibu bapanya namun semuanya hanya sia-sia apabila hakikatnya dia ditinggalkan di kawasan itu sehelai sepinggang tanpa belas kasihan.

Sebaik diserahkan kepada polis pada malam itu, kanak-kanak terbabit yang gagal memberikan nama sebenarnya selain hanya memanggil dirinya Yaya sempat merasai kasih sayang anggota Balai Polis Seksyen 9, yang turut bersimpati dengan nasibnya.

Ketua Balai Polis Seksyen 9 Asisten Superintendan Zaiful Nizam Mohamad berkata, sebaik Yaya dihantar ke balai polis, anggota wanita di balai berkenaan melayannya seperti anak sendiri agar dapat mengurangkan rasa sedih kanak-kanak itu.

“Sebaik kami terima kes Yaya, ramai anggota wanita yang kasihan terhadapnya dan terus melayannya seperti anak sendiri.

“Ada yang sanggup belikan baju baru, mandikan, beri makan dan tidurkan Yaya.

“Kami semua terkesan apabila melihat keadaan Yaya yang tidak mengerti apa-apa namun terpaksa berdepan nasib malang ditinggalkan tanpa kasihan,” katanya.

Malah, situasi menjadi lebih sukar apabila tiada waris yang tampil untuk menuntut Yaya sehingga hari ini dan kanak-kanak itu terpaksa diserahkan kepada JKM, semalam.

Menurut Zaiful Nizam, riak wajah Yaya menunjukkan kesedihan seolah mengetahui dia akan diserahkan kepada JKM dan tidak boleh lagi bermanja dengan anggota wanita yang melayannya dengan baik.

“Semasa berbincang dengan anggota mengenai proses menghantar Yaya ke pejabat JKM, dia sudah mula menangis seolah mengerti kami terpaksa meninggalkannya.

“Kami di Balai Polis Seksyen 9 juga bersedih kerana Yaya adalah budak yang mendengar dan periang. Dia tahu ibu bapa meninggalkannya, namun dia langsung tidak meragam,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu menangis saat diserahkan kepada pegawai JKM dan detik itu turut meruntun hati pegawai wanita yang turut bersama ketika proses berkenaan.

“Yaya ada maklumkan kepada anggota wanita bahawa dia mahu terus dijaga mereka kerana dia rasa disayangi,” katanya.

Loading...

Leave a Reply