Portal berita terbaik anda

Utama

Guan Eng penipu, kata Ketua Menteri Sarawak

LUNDU: Kerajaan Persekutuan dituntut agar menyegerakan pelaksanaan projek membaik pulih sekolah usang di Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri sudah membayar RM350 juta seperti disyaratkan.

“Saya sudah bayar RM350 juta seperti yang dikehendaki tetapi sampai sekarang sekolah daif di Sarawak belum dilaksanakan.

“Bila ditanya kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, jawapannya perlu tubuh jawatankuasa dulu. Pembulak (penipu),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Town Hall Berambeh Ngan Abang Johari di Dewan Masyarakat Lundu di sini hari ini.

Pada program tersebut, Abang Johari turut meluluskan peruntukan dana sebanyak RM5 juta untuk mewujudkan sebuah pusat pengumpulan hasil tani di Lundu.

Pusat tersebut adalah untuk para petani mengumpulkan hasil tani mereka sebelum dipasarkan sekali gus mengatasi lambakan hasil tani di kawasan ini.

Selain itu, Kerajaan Sarawak menurut Abang Johari juga akan memperbesarkan skim perumahan di Lundu dengan pinjaman melalui Mutiara Mortgage & Finance iaitu sebuah syarikat milik Sarawak sendiri.

Abang Johari juga akan menambah modal Mutiara Morgage & Finance daripada RM50 juta kepada RM100 juta untuk kemudahan pembiayaan kepada rakyat Sarawak.

Perkara lain, Abang Johari turut akan membantu komuniti nelayan di Lundu dari segi bantuan kewangan ataupun peralatan bagi meringankan beban terutama ketika musim tengkujuh dan landas.

Selesai Sesi Town Hall, Abang Johari turut melawat projek Program Rumah Spektra Permata Lundu/Sematan di tapak projek di sini yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Hadir sama, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu; ADUN Opar Datuk Ranum Mina serta lain-lain.

Loading...

Leave a Reply