Portal berita terbaik anda

Politik

GPS ‘bodoh’ jika bersama DAP, kata Abang Johari

MENYOKONG DAP adalah “langkah bodoh”, kata Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg hari ini, menegaskan kembali pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti Pakatan Harapan itu.

Abang Johari yang juga ketua menteri Sarawak berkata DAP sudah lama menuduh GPS tidak mampu mentadbir negeri malah meramalkan Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Katanya, ini adalah rancangan jahat DAP Sarawak dalam kempen pilihan raya negeri akan datang.

“Bodoh kita untuk sokong parti sebegitu,” katanya pada pelancaran GPS Zon Belaga dan Murum di Belaga, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat DAP Sarawak dan Ketua PH negeri Chon Chieng Jen yang berkata DAP Sarawak bersedia “mengetepikan semua perbezaan” untuk bekerjasama dengan GPS demi kepentingan negara.

Chong membuat tawaran itu untuk meraih sokongan GPS kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dalam krisis perebutan jawatan itu dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang kini bersekutu dengan Umno dan PAS.

Abang Johari juga berkata beliau juga mempunyai masalah dengan dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng pada Jun tahun lepas, yang mendakwa Sarawak di bawah pentadbiran GPS akan muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Lim adalah menteri kewangan sebelum kejatuhan kerajaan PH pusat minggu ini.

Lim ketika itu berkata, dengan belanjawan tahunan negeri mencecah RM11 bilion, rizab simpanan Sarawak sebanyak RM30 bilion akan habis dalam tempoh tiga tahun.

Dr Mahathir yang kini mendapat sokongan PH- PKR, DAP dan Amanah- sedang berebut jawatan perdana menteri dengan kem Muhyiddin yang disokong Bersatu, Umno, PAS, kumpulan bekas PKR diketuai Azmin Ali.

Kedua-dua kem sedang berusaha meraih sokongan GPS.

Tanpa sokongan GPS, PH mempunyai 94 sokongan (termasuk Dr Mahathir dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), manakala kem Muhyiddin pula mempunyai 96 sokongan wakil Parlimen.

Majoriti mudah sebanyak 112 ahli Parlimen daripada 22 kerusi di Dewan Rakyat diperlukan untuk membentuk kerajaan. – 29 Februari, 2020.

Loading...

Leave a Reply