Portal berita terbaik anda

Utama

Gara-gara sijil nikah hilang, enam anak kempunan ke sekolah

JERTIH – “Ma bakpo saya tak boleh sekolah.” Luahan sayu Mohd Azam Abdul Aziz, sembilan tahun itu sering diajukan kepada ibunya, Siti Aishah Aziz, 39, setiap kali melihat rakan sebayanya menggalas beg ke sekolah.

Siti Aishah berkata, dia hanya mampu meminta anaknya bersabar dan berusaha memujuk dengan harapan satu hari nanti Mohd Azam berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah.

Katanya, enam daripada tujuh anaknya berusia lingkungan enam bulan hingga 16 tahun tidak mempunyai sijil kelahiran kerana dokumen sijil nikahnya bersama suami hilang yang menyukarkan proses membuat pendaftaran kelahiran.

“Hanya anak sulung, Mohd Azwan yang ada sijil kelahiran, tetapi maklumat bapa tiada menyebabkan proses daftar sekolah tidak boleh dilakukan. Dia seorang saja sempat ke tadika…yang lain langsung tidak pernah ke sekolah,” katanya.

Lebih menimbulkan kesulitan, suaminya, Abdul Aziz Yaacob, 57, baru sahaja meninggal dunia 1 Oktober lalu akibat penyakit strok dan jantung.

Siti Aishah yang juga warga Thailand ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelubi Putih, Jabi di sini berkata, dia berkahwin dengan suaminya yang berasal dari sini, di sempadan Thailand pada 2001 ketika berusia 21 tahun.

“Namun perkahwinan kami tidak didaftarkan secara rasmi di negara ini dan lebih merumitkan keadaan, sijil nikah itu hilang daripada simpanan.

“Saya bimbang memikirkan masa depan anak selain tidak boleh ke sekolah, kami perlu membayar caj rawatan lebih mahal di klinik dan hospital kerajaan.

“Apabila mereka mahu berkahwin kelak, proses untuk mendaftar perkahwinan juga lebih sukar kerana tiada rekod maklumat peribadi,” katanya.

Dia berkata, disebabkan tidak boleh bersekolah, tiga anak lelakinya berumur 16, 15 dan 12 tahun memilih untuk bekerja pada usia muda.

“Anak sulung dan ketiga bekerja sebagai pembantu kedai. Seawal jam 7.30 pagi keluar rumah dan pulang jam 6 petang. Anak kedua pula makan gaji membuat kerja pendawaian elektrik. Walaupun mereka masih muda tapi rajin bekerja.

“Saya berharap ada pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pendidikan boleh membantu kami sekeluarga untuk mendapatkan sijil kelahiran bagi memudahkan anak saya bersekolah satu hari nanti,” katanya.

Loading...

Leave a Reply