Gagal siapkan kerja sekolah, guru ‘stapler’ telinga murid sampai berdarah

SEORANG murid lelaki berusia 10 tahun mendakwa telinga kirinya cedera selepas dikepit menggunakan ‘stapler’ atau pengokot oleh gurunya dalam kejadian di sebuah sekolah, di Kota Kinabalu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, difahamkan murid terbabit tidak menyiapkan kerja rumah bagi subjek matematik sehingga menyebabkan dia di ‘staple’ di telinga.

Ekoran kejadian itu, murid berkenaan bertindak mengadu pada ibunya sebelum satu laporan polis dibuat pada hari sama oleh pengadu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 12 tengah hari oleh seorang pengadu berusia 32 tahun.

“Pengadu yang juga ibu kepada murid berkenaan, mendakwa anaknya mengalami kecederaan pada telinga kiri kerana di ‘staple’ oleh gurunya dan siasatan lanjut mendapati ada kesan calar pada telinga mangsa, namun alat yang digunakan tidak ada besi pengokot di dalamnya.

“Tindakan itu dipercayai hanya bertujuan menakutkan murid berkenaan kerana tidak menyiapkan kerja rumah matematik yang diberikan cikgu terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Habibi berkata kes terbabit masih dalam siasatan pihaknya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kes masih disiasat dan pada masa sama, kita tunggu laporan perubatan daripada doktor sebelum buat keputusan sama ada berlaku kecederaan atau hanya tohmahan tidak berasas.

“Guru wanita berkenaan juga kita akan panggil dalam masa terdekat,” katanya.

Loading...

Leave a Reply