Portal berita terbaik anda

Utama

Fosil mamalia jutaan tahun musnah dipercayai dirosakkan kru produksi

IPOH: Sebuah syarikat produksi drama mengaku bertanggungjawab merosakkan fosil berusia jutaan tahun di Gua Matsoorat berhampiran Gunung Lang dekat sini termasuk bahagian dinding gua semasa menjalankan penggambaran di kawasan tersebut baru-baru ini.

Wakil syarikat produksi dari Kuala Lumpur itu telah berjumpa dengan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berhubung perkara tersebut dan bersedia menanggung kos untuk membaiki kerosakan yang telah dilakukan.

Pengarah Eksekutif Rymba Management & Leisure Sdn. Bhd. (Rymba Management), Megat Mohd. Shahrin Mohd. Shen berkata, perkara yang telah berlaku itu amat dikesali kerana ia tidak sepatutnya terjadi sekiranya kru produksi tersebut masuk ke kawasan gua bersejarah itu bersama juru pandu berpengalaman.

Katanya, syarikat produksi itu juga telah melakukan kesalahan kerana melakukan penggambaran di kawasan gua berkenaan tanpa kebenaran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selaku pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap gua itu.

“Kru produksi ini telah menceroboh masuk ke Gua Matsoorat tanpa pengetahuan MBI dan hasil pemeriksaan kemudian mendapati berlaku kerosakan pada fosil dan dinding gua.

“Sebenarnya kawasan ini tidak boleh dimasuki sesuka hati berikutan usaha untuk menjadikan Gua Matsoorat sebagai geotapak ke-19 dalam Geopark Lembah Kinta,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini.

Rymba Management yang berpengalaman dalam menjalankan pelbagai aktiviti lasak telah dilantik oleh MBI selaku pihak bertanggungjawab bagi menganjur, menawar dan mempromosikan Gua Matsoorat sebagai lokasi ekopelancongan.

Pelantikan tersebut adalah sebahagian daripada usaha MBI bersama agensi berkaitan bagi menjadikan Gua Matsoorat sebagai kawasan pelancongan terkawal.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini telah memberi jaminan untuk meningkatkan kawalan di Gua Matsoorat bagi mengelakkan ia diceroboh pihak luar bagi memastikan khazanah di tapak bersejarah yang berusia jutaan tahun itu terpelihara.

Ia susulan kerosakan pada gigi fosil mamalia herbivor yang dipercayai berlaku pada 18 Mac lalu dengan kesan seperti diusik oleh pihak yang tidak diketahui.

Pengerusi Jawatantkuasa Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pihaknya telah pun mengeluarkan arahan agar langkah keselamatan dipertingkatkan bagi menjaga laluan masuk ke Gua Matsoorat.

Menurut beliau, gua berkenaan adalah di bawah seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang juga bertanggungjawab ke atas Gunung Lang manakala kawasan persekitarannya pula di bawah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Selain fosil, beberapa lukisan prasejarah juga ditemui pada dinding Gua Masoorat yang dipercayai dihasilkan pada Zaman Neolitik berusia lebih 5,000 tahun berdasarkan bahan warna yang digunakan untuk melukis. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply