Portal berita terbaik anda

Utama

Fasa pertama BPN diagih hari ini

BANK Simpanan Nasional (BSN), institusi kewangan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN), menyokong inisiatif kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas oleh wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, BSN berkata, pembayaran BPN akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada April dan Mei 2020, dan bagi fasa pertama, pembayaran BPN melalui pengkreditan ke akaun akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Isnin, 6 April hingga Rabu, 15 April.

“Pengeluaran wang tunai boleh dibuat bukan sahaja di Mesin Juruwang Automatik (ATM) BSN, malah boleh dilakukan di semua ATM rangkaian MEPS di seluruh negara.

“Caj RM1 bagi urus niaga pengeluaran tunai antara bank di semua ATM dikecualikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

BSN menasihatkan penerima untuk sentiasa mempraktikkan penjarakan sosial sejauh satu meter dan mengunjungi cawangan BSN sekiranya perlu sahaja.

Bank itu berkata, beberapa cawangan BSN tidak beroperasi untuk sementara waktu berikutan penularan wabak Covid-19, namun begitu, operasi ATM BSN masih beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, sekiranya status bayaran secara kredit ke akaun tidak berjaya, penerima dinasihatkan untuk membuat semakan kelayakan masing-masing secara dalam talian terlebih dahulu melalui https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my. – BERNAMA

Loading...

Leave a Reply