Portal berita terbaik anda

Utama

Empangan hampir kering, penduduk buat solat hajat mohon hujan

PADANG TERAP – Kira-kira 300 penduduk sekitar Tasik Pedu bersama Dewan Ulama PAS Kedah mengadakan solat sunat istisqa bagi memohon hujan kembali memenuhi air empangan di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya, berkata solat itu dilakukan di kawasan Mong Gajah, iaitu perkampungan lama yang timbul kembali akibat kemarau selepas ia ditenggelamkan pada 1969.

Katanya, solat itu dilakukan pada jam 1.30 petang semalam dan diimamkan Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Rodhi Abd Rahman.

“Penganjuran solat sunat ini adalah ekoran kemarau berpanjangan di Kedah sehingga menyebabkan air di Empangan Muda, Pedu dan Ahning menjadi surut sehingga berlaku gangguan bekalan air.

“Alhamdulillah solat itu dihadiri penduduk setempat tanpa mengira latar belakang politik bagi sama-sama berdoa memohon hujan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Solat istisqa adalah sunnah Nabi Muhammad yang dilakukan baginda ketika menghadapi kemarau.

Loading...

Leave a Reply