Portal berita terbaik anda

Utama

Dr Luqman dilantik Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu

PENSYARAH Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Dr Luqman Abdullah akan dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

Perkara berkenaan disahkan menerusi Facebook rasmi Universiti Malaya yang memuatnaik poster ucapan tahniah kepada Dr Luqman atas perlantikan berkenaan.

Menerusi poster berkenaan, UM berbangga dan merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Dr Luqman Abdullah daripada Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa mulai 15 Mei 2020 hingga 14 Mei 2022.

Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beberapa bulan lalu.

Dr Luqman berusia 51 tahun dilahirkan di Kelantan dan anak kepada seorang ulama terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman yang juga Pengerusi Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah.

Sumber memberitahu Harian Metro bahawa Dr Luqman sudah menerima surat perlantikan petang tadi dan kini dalam proses menguruskan peminjaman perkhidmatannya ke Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, ia adalah proses biasa memandangkan beliau adalah pensyarah yang masih bertugas di UM.

Dr Luqman mendapat bimbingan pendidikan agama menerusi Allahyarham bapanya dan aktif dalam pembentangan kertas kerja dalam forum dan seminar sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dalam bidang persoalan wakaf, zakat, usul fiqh dan pengajian tradisional.

Beliau pernah menetap selama empat tahun di United Kingdom ketika melanjutkan pengajian di peringkat Kedoktoran Falsafah (PhD) di Universiti Edinburgh dalam bidang undang-undang harta Islam.

Peringkat profesional, beliau adalah Ahli Lembaga Pusat Pembangunan Pengajian Pondok Kelantan, Ahli Panel Pakar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ahli Panel Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Loading...

Leave a Reply