Portal berita terbaik anda

Utama

Dong Jiao Zong, NGO Cina bertegas tak nak Jawi untuk murid darjah 4

Sebanyak 17 NGO Cina diketuai Dong Jiao Zong (Dong Zong dan Jiao Zong) teguh dengan pendirian mereka bahawa kerajaan wajar membatalkan pengajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat di sekolah vernakular tahun depan.

“Kami gesa kerajaan dengar suara di bawah dengan membatalkan (rancangannya) untuk memasukkan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat,” kata Presiden Dong Zong Tan Tai Kim selepas pertemuan selama dua jam antara kumpulan berkenaan.

Memetik sebuah tinjauan, Tan berkata mereka berjaya mengumpul tandatangan lebih 900 daripada 1,298 sekolah rendah Cina yang membantah pelajaran tulisan Jawi untuk murid-murid Tahun Empat.

Tan berkata kumpulan itu juga bersetuju bahawa lembaga sekolah sepatutnya diberi suara dalam memutuskan apa jua langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan di sekolah.

Pertemuan itu diadakan di sebuah restoran di Kajang, tiga kilometer dari Kolej Universiti New Era.

Tan membacakan kenyataan bersama yang mewakili 17 kumpulan yang pada awalnya merancang menganjurkan Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina di kolej universiti berkenaan hari ini, sebelum dibatalkan selepas polis mendapat injunksi mahkamah.

Bagaimanapun, Tan berkata kumpulan berkenaan tidak membantah sukatan pelajaran Bahasa Malaysia murid darjah lima yang mengandungi pengajaran khat Jawi serta kaligrafi Cina dan Tamil di sekolah vernakular.

“Kami menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan dialog bersama Pertubuhan Pendidikan Cina dalam masa yang terdekat untuk menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJK,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen berkata kumpulan berkenaan turut membincangkan isu berkenaan bersama parti politik, daripada kedua-dua belah, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Untuk rekod, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zong, merupakan badan induk bagi pengurusan semua sekolah Cina di 13 buah negeri.

Dong Zong dan ahli gabungannya didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan.

Jiao Zong atau Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia pula ditubuhkan pada tahun 1951, empat tahun lebih awal daripada Dong Zong.

Kedua-dua Dong Zong dan Jiao Zong merupakan pertubuhan pendidikan sekolah Cina yang paling tinggi dalam masyarakat itu. Secara bersama, gabungan dua pertubuhan ini dikenali sebagai Dong Jiao Zong.

Ong berkata kumpulan itu bersetuju dengan gesaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menggesa semua pihak untuk kembali ke meja rundingan.

Beliau berkata rundingan itu boleh mengelakkan percubaan untuk memecah-belahkan masyarakat.

“Kerajaan melaksanakan pengenalan tulisan Jawi hanya menggalakkan konfrontasi antara kerajaan dan masyarakat awam.

“Ini tidak baik untuk integrasi negara dan keharmonian sosial,” katanya.

Loading...

Leave a Reply