Portal berita terbaik anda

Politik

DAP sedia masuk kawasan Melayu bantu jentera PH

KAJANG: DAP memberi komitmen penuh untuk turun berkempen bersama calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, termasuk masuk ke kawasan majoriti Melayu jika diperlukan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata parti itu tiada masalah untuk masuk ke kawasan majoriti Melayu sekiranya calon PH mahu mereka berbuat demikian bagi membantu kempen PRK berkenaan.

“Kalau perlu (masuk ke kawasan majoriti Melayu), tak ada masalah. Kita akan bantu seberapa yang boleh.

“Saya rasa sekiranya diperlukan, kita (DAP) akan masuk apa-apa kawasan yang diminta oleh pihak calon. Kita akan bekerjasama di bawah payung PH,” katanya ditemui di perkarangan Dewan Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada DAP akan turut turun berkempen ke kawasan majoriti Melayu pada PRK DUN Semenyih untuk membantu calon PH.

Kaum Melayu adalah majoriti penduduk di dalam DUN Semenyih dengan 36,859 orang atau 67.6 peratus, daripada 54,503 pengundi, diikuti Cina (9,034 atau 16.6 peratus), India (7,577 atau 13.9 peratus), Orang Asli (289 atau 0.5 peratus) dan lain-lain (744 atau 1.3 peratus).

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, PRK DUN Semenyih penting untuk melihat sokongan terkini rakyat terhadap kepimpinan PH di Selangor yang diketuai PKR, serta sokongan di peringkat Persekutuan, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya harap rakyat terus beri ruang dan peluang kepada PH untuk jalankan tugas yang diamanahkan rakyat pada PRU-14.

“Ini termasuk untuk kami melaksanakan janji dalam manifesto PH yang memerlukan sedikit masa kerana keadaan kewangan tidak menentu ekoran daripada skandal 1MDB (1Malaysia Development Bhd),” katanya.

Loading...

Leave a Reply