Portal berita terbaik anda

Utama

Covid-19: Tamat kuarantin, PM dan 34 pegawai boleh masuk pejabat esok

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua 34 ahli mesyuarat pasca Kabinet yang sebelum ini perlu menjalani kuarantin 14 hari di rumah susulan seorang pegawai didapati positif Covid-19, sudah boleh memulakan tugas di pejabat, esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan ujian saringan dijalankan pada hari ke-13, semalam didapati negatif seperti sebelum ini.

“Hari ini sebenarnya hari ke-14 daripada pertama kali mereka dikenakan pengasingan dan kuarantin. Kami sudah mengambil calitan dan semua ahli mesyuarat pasca Kabinet itu didapati negatif jangkitan.

“Esok mereka boleh memulakan kerja di pejabat dan sebagainya. Bagi pegawai yang sebelum ini didapati positif, keadaannya sudah semakin baik dan ujian calitan dilakukan mendapati ia memperoleh keputusan negatif,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas mengenai status Perdana Menteri serta 34 pegawai yang menghadiri mesyuarat pasca Kabinet pada 20 Mei lalu.

Pada 23 Mei lalu, media melaporkan, seramai 35 individu termasuk Perdana Menteri yang menghadiri mesyuarat pasca-Kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin didapati negatif selepas ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan terhadap mereka.

Sebelum itu, seramai 35 pegawai kerajaan dan Muhyiddin yang menghadiri mesyuarat pada 20 Mei lalu disaring sebelum mesyuarat, namun keputusan ujian diketahui sehari kemudian.

Bagaimanapun seorang daripada pegawai terbabit didapati positif Covid-19, manakala 35 yang lain negatif.

Loading...

Leave a Reply