Portal berita terbaik anda

Utama

Covid-19: Sindrom seperti penyakit Kawasaki dikesan pada kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif COVID-19.

Dalam catatan Facebooknya pada Ahad, beliau menyatakan keadaan itu adalah gejala radang saluran darah yang bermula dengan tanda demam dan ruam.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu berkata laporan dari Eropah dan Amerika Utara mengesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

“Sangat mustahak untuk mencirikan sindrom klinikal ini dengan teliti bagi memahami sebab serta akibat dan untuk memberikan intervensi rawatan.

“Saya telah meminta pakar di seluruh dunia supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing sementara WHO akan kekal berwaspada dan lebih memahami akan sindrom ini pada kanak-kanak,” katanya dalam klip video pendek WHO yang turut dikongsi oleh Dr Noor Hisham.

Dalam klip video yang sama, Ketua Teknikal COVID-19 untuk Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata ia merupakan satu keadaan yang sangat jarang berlaku dan WHO telah mendapat gambaran mengenai gejala yang berbeza pada kanak-kanak yang diuji positif COVID -19.

Menurut laman web rasmi WHO, laporan kes telah menggambarkan penyakit akut yang disertai oleh sindrom hiperinflamasi, yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ.

Ia penting untuk mencirikan sindrom berkenaan dan faktor risikonya bagi memahami sebab serta akibat, selain menerangkan intervensi rawatan. Masih belum jelas spektrum penuh penyakit itu dan sama ada faktor penyebaran di Eropah dan Amerika Utara mencerminkan corak sebenarnya atau tidak. – BERNAMA

317 kanak-kanak termasuk 22 bayi positif Covid-19

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 317 kes positif Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 112 kes atau 35 peratus adalah dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah dan 22 kes membabitkan bayi berusia kurang setahun.

“Setakat ini tiada kes kematian positif Covid-19 dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak (berusia) bawah 12 tahun,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, Selangor mencatatkan bilangan kes positif Covid-19 tertinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun iaitu 77 kes, diikuti Negeri Sembilan (48), Johor (46), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28), serta Sabah (26).

Katanya, kanak-kanak dan bayi memerlukan ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang lebih tua untuk melindungi mereka daripada bahaya jangkitan Covid-19.

“Ibu bapa dan penjaga perlu memberi didikan kepada kanak-kanak supaya mereka dapat mengamalkan tahap kebersihan tinggi, sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun, serta sangat digalakkan memakai pelitup muka di kawasan umum,” katanya.

Loading...

Leave a Reply