Portal berita terbaik anda

Utama

Covid-19: Perlis batal solat Jumaat hari ini

SOLAT Jumaat di seluruh negeri Perlis pada hari ini dibatalkan dan digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing selepas mengambil kira situasi semasa akan COVID-19.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Negeri Perlis (MAIPs) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, perkara terbabit diputuskan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semalam.

“Selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai Covid-19, serta menerima panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, maka MAIPs bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dengan ini memutuskan supaya Solat Jumaat di seluruh Negeri Perlis pada tarikh 13 Mac 2020 digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

“Hal ini adalah rentetan daripada perkembangan terbaru seperti yang telah dimaklumkan oleh KKM. Justeru itu pihak kementerian meminta agar sebarang perhimpunan berskala besar termasuklah aktiviti agama hendaklah dielakkan,” katanya.


Dalam pada itu, MAIPs turut mengingatkan agar pihak pengurusan masjid di dalam negeri ini memainkan peranannya dalam memastikan wabak terbabit tidak menular dalam kalangan ahli jemaah dan anak kariah.

“Pengurusan masjid-masjid di seluruh Perlis hendaklah mengelakkan daripada melaksanakan apa-apa aktiviti berbentuk perhimpunan awam berskala besar buat masa ini.

“Maka dinasihatkan agar individu muslim sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan,” katanya.

Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan agar ahli jemaah yang terdedah dengan simptom wabak atau berpotensi menjadi pembawa Covid-19 untuk tidak ke masjid.

Loading...

Leave a Reply