Portal berita terbaik anda

Politik

‘Carilah modal lain, kalau benci sangat dengan PAS’

SHAH ALAM – PAS menyarankan agar pihak yang membenci parti itu supaya mencari isu yang lebih bernas jika mahu ‘menyerang’ parti itu.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, mengambil contoh isu pemakaian uniform Jabatan Amal di Muktamar Pas ke-64 yang menjadi senjata penyerang Pas, penyerang parti dilihat tidak bijak mencari isu.

Sindirnya, sebaliknya isu itu menjadi ‘senjata makan tuan’, apabila orang awam mendapat manfaat daripada serangan berkenaan.

“Alhamdulillah Jabatan Amal mendapat iklan percuma, apabila isu uniform di Muktamar Pas ke-64.

“Hendak harap isu lain sudah tidak ada. Baling kerusi, meja, mic, bergaduh tidak berlaku. Tidak ada pula perwakilan yang ditangkap kerana minta rasuah oleh SPRM.

“Maka isu uniform yang menjadi tumpuan. Nampaknya orang awam yang selama ini tidak mempeduli Jabatan Amal sudah memberi tumpuan, Mereka hendak tahu apa itu Jabatan Amal. Cybertrooper upahan mereka terkedu apabila ditunjuk uniform pasukan St John. Terus menghilang diri dan tidak dapat dikesan oleh radar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan berhubung pakaian perbarisan Jabatan Amal yang menyerupai uniform tentera.

Rentetan itu, Pas menganggap pemakaian uniform Jabatan Amal di hari perasmian muktamarnya tidak melanggar undang-undang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pakaian menyerupai seragam tentera Malaysia nombor satu adalah perkara biasa.

Takiyuddin turut menjelaskan pakaian tersebut adalah salah satu daripada tujuh pakaian Jabatan Amal.

Mengulas lanjut, Idris berkata, “Insya-ALLAH anak muda yang benci dengan trend politik dendam dan fitnah akan menyertai Jabatan Amal.

“Mereka akan menjawab dengan amalan untuk sama-sama menyertai Jabatan Amal biar mereka yang benci dan dendam tidak senang.

“Berita uniform Jabatan Amal seolah-olah sempadan negara diceroboh, senjata hilang dan kem tentera diserang. Carilah modal lain, kalau benci sangat dengan Pas. Tak padan lawan Jabatan Amal, buat malu dekat orang sahaja,” sinisnya.

Loading...

Leave a Reply