Portal berita terbaik anda

Politik

BERSATU calonkan Muhyiddin sebagai PM ke-8

Anggota Parlimen Bersatu mencalonkan presiden parti itu Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri kelapan.

Perkara itu dimaklumkan setiausaha agungnya Marzuki Yahya dalam kenyataan hari ini, selepas mesyuarat pemimpin dan anggota parlimen Bersatu, yang turut dihadiri Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur hari ini.

“Mesyuarat ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu hari ini memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu dan anggota parlimen Pagoh, sebagai perdana menteri kelapan untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,” katanya yang juga anggota parlimen Tasek Gelugor.

Beliau tidak menyatakan sama ada ia keputusan sebulat suara tetapi berkata “seramai 36 ahli Dewan Rakyat Bersatu” menyertai mesyuarat itu.

Bersatu hanya mempunyai 26 anggota parlimen, termasuk Mahathir. Tambahan 10 anggota parlimen itu dipercayai merujuk kepada kem Azmin Ali, yang sebelum ini dikatakan akan menyertai parti itu.

Perkara itu disahkan seorang sumber yang rapat dengan Muhyiddin, yang berkata anggota parlimen daripada kem Azmin telah menyertai Bersatu.

Ia tidak termasuk Anggota Parlimen Ranau Jonathan Yasin, yang semalam dilihat menjarakkan diri daripada Azmin dan menafikan keluar PKR, menerusi satu hantaran Di Facebook yang kini telah dipadam.

Loading...

Leave a Reply