Portal berita terbaik anda

Politik

‘Bersatu akan hancur’ – Mahathir

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan ‘serangan’ ke atas pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bekerjasama dengan Umno.

Dalam entri blognya hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pemimpin parti terbabit sebelum ini berhasrat menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak yang terbabit dalam skandal berbilion wang kerajaan.

Katanya, pemimpin Bersatu kini lupa kepada hasrat berkenaan dan ikrar melawan kerajaan kleptokrat dengan menyokong antara satu sama lain di dalam Perikatan Nasional (PN).

“Apabila menang Presiden Parti Bersatu rancang bersama parti yang kalah untuk keluar dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya jatuhlah kerajaan Pakatan Harapan.

“Apa kata pemimpin lain dalam Bersatu. Apakah mereka sanggup menerima pencuri sebagai pemimpin. Okaylah asal dapat nikmat,” katanya.

Sebelum ini Dr Mahathir menyelar tindakan Bersatu yang keluar dari PH dan bergabung bersama Umno dan Pas untuk membentuk kerajaan PN.

Ahli Parlimen berusia 95 tahun itu juga turut menyatakan bahawa Bersatu akan hancur kerana kerjasama itu dan perjuangan sebelum ini tidak akan ke mana kerana pemimpin tenggelam dalam nikmat.

“Dengan ini Bersatu akan hancur! Dengan itu perjuangan untuk selamatkan orang Melayu dari pemimpin kleptokrat jadi apa?

“Itu masalah Bersatulah. Asalkan kita dapat nikmat okaylah. Di masa hadapan orang tidak lagi akan percaya kita, tak apakah? Itu masa depan. Demikian sikap beberapa pemimpin dan ahli Bersatu,” katanya.

Jumaat lalu beliau hadir di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya ketika sidang media Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dijadualkan berlangsung.

Beliau turut membidas tindakan pemecatan dirinya bersama empat ahli parlimen lain yang didakwanya tidak sah kerana surat berkenaan dikeluarkan Setiausaha Kerja parti, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Loading...

Leave a Reply