Portal berita terbaik anda

Utama

‘Beri kami masa 5 tahun tunai manifesto PH’ – MB Melaka

AYER KEROH: Kerajaan Melaka memerlukan tempoh lima tahun bagi menyelesaikan semua janji yang dibuat menerusi manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata hingga kini lebih 52 peratus bersamaan 44 daripada 84 tawaran manifesto yang dijanjikan kepada rakyat sudah dapat ditunaikan dengan manfaatnya dinikmati sebahagian besar penduduk di negeri ini.

Beliau berkata, sebahagian lagi inisiatif akan dilaksanakan secara berperingkat, termasuk beberapa perkara yang memerlukan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, berkaitan dengan pinjaman mikro kredit yang sudah pasti memerlukan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, selain beberapa lagi aspek berkaitan dengan kepentingan rakyat secara keseluruhannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-14, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Antara janji yang sudah dilaksanakan, termasuklah tanah kediaman milik orang Melayu yang berstatus pajakan dibenar untuk ditukar kepada Tanah Adat Melaka (MCL) dengan bayaran nominal RM1,000, selain menetapkan semua operasi pengeluaran hasil hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) dihentikan sementara waktu berkuat kuasa 1 Julai tahun lalu bagi membolehkan ia dikaji semula dalam usaha memulihara kualiti dan kelestarian alam sekitar.

Turut ditunaikan ialah perkhidmatan bas percuma di kawasan pusat bandar, memansuhkan bayaran meletak kenderaan di seluruh negeri pada setiap Sabtu dan Ahad serta mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Kerajaan PH Melaka turut menetapkan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)yang dilantik oleh kerajaan negeri tidak lagi mempunyai kuasa dalam Jawatankuasa Perolehan dan Tender bagi mengelakan amalan kronisme dan menjamin ketelusan proses pemerolehan tender.

Loading...

Leave a Reply