Belanjawan 2020 bukti PH pandai mentadbir negara – Tun M

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2020 membuktikan kedudukan kewangan kerajaan kukuh, sekali gus menepis tanggapan sesetengah rakyat yang Pakatan Harapan (PH) tidak pandai mentadbir negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, gembira walaupun kerajaan masih berdepan masalah pembayaran hutang disebabkan pentadbiran terdahulu, hampir semua pihak menerima manfaat daripada belanjawan berkenaan.

“Ramai berpendapat kerajaan PH ini tidak berpengalaman dan tak mungkin mentadbir negara dengan baik.

“Bagaimanapun, seperti yang kita dengar (pembentangan belanjawan) tadi, peruntukan tambahan diberikan kepada hampir semua pihak.

“Ini menunjukkan bahawa kedudukan kewangan kita masih kukuh dan kita masih tiada pinjaman tidak berbayar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pada pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan mengumumkan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM297 bilion, peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion bagi 2019.

Sebanyak RM241 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM56 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Dr Mahathir berpendapat, Kementerian Kewangan menyediakan satu belanjawan yang mencerminkan kekukuhan pentadbiran negara.

Pada tahun ini, ekonomi negara dijangka tumbuh pada kadar 4.7 peratus dan akan meningkat kepada 4.8 peratus pada 2020.

“Ini bermakna pemerintahan kerajaan masih berjalan dengan baik. Walaupun kita terpaksa ‘membersihkan’ kerajaan tetapi ini tidak bermakna kerajaan tidak dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Loading...

Leave a Reply