Portal berita terbaik anda

Jenayah

Bekas pembantu tokong didakwa pikat isteri orang, ugut sebar gambar bogel

Gambar hiasan

Gambar hiasan

PETALING JAYA: Seorang bekas pembantu tokong didakwa di Mahkamah Majistret berasingan di sini, atas tiga tuduhan memikat isteri orang sehingga melakukan persetubuhan dan memiliki serta mengugut menyebarkan gambar bogel kenalannya.

Chang Ye Siong, 44, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan berasingan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir dan Majistret Salamiah Salleh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ye Siong didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap seorang wanita, berusia 34 tahun, dengan cara hendak menyebarkan gambar bogel mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hotel Sovotel, Kota Damansara, di sini pada September 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ye Siong turut dituduh memiliki video lucah mangsa yang dimuat naik untuk tujuan pengedaran di dalam dua telefon bimbitnya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah D11, Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, di sini, jam 8 pagi, 19 Disember lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu di mahkamah berasingan, Ye Siong yang juga bapa dua anak, dituduh memikat kakak mangsa, berusia, 39, yang sudah bersuami sehingga mangsa melakukan persetubuhan dengannya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hotel Signature, Setia Walk Puchong, di sini, pada September 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,500 bagi kesemua pertuduhan, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran dan Mary Phoon Keat Mee dan tertuduh diwakili peguam Tai Yi Kuan, manakala peguam Mohd Syazwan Mohd Hassan bertindak sebagai peguam pemerhati untuk mangsa.

Loading...

Leave a Reply