Portal berita terbaik anda

Jenayah

Bayi masih bertali pusat ditemui di padang permainan

BAYI lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di sebuah padang permainan di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat pada 12.38 tengah hari tadi daripada seorang lelaki, 50, yang menghubungi pihak polis.

“Siasatan awal mendapati bayi itu dijumpai dalam keadaan menangis di sebuah padang permainan di situ.

“Ketika ditemui, bayi itu berada dalam keadaan berbungkus dengan balutan kain pelikat. Keadaan bayi itu masih bertali pusat dan uri,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.

“Bayi itu kemudian disahkan dalam keadaan sihat dengan berat 3.22 kilogram,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Sekatan atau balai polis berdekatan.

Loading...

Leave a Reply