Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Bapa maut, anak parah motosikal ditunggang dilanggar kereta

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki meninggal dunia manakala anaknya cedera selepas Yamaha Lagenda ditunggang mereka dilanggar kereta di Kilometer 450.8, Lebuhraya Utara Selatan menghala Rawang dekat sini, jam 8 pagi tadi.

Mustafa Abu Bakar, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi manakala Fatin Farzana, 21, cedera di kaki.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja dipandu lelaki berusia 23 tahun mengubah laluan ke lorong paling kiri.

“Pada masa sama, Yamaha Lagenda ditunggang mangsa juga mengubah laluan dari lorong kecemasan ke lorong paling kiri.

“Ia menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang motosikal itu. Kereta terbabit terbabas ke bahu jalan dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri,” katanya pada kenyataan.

Menurut Shafa’aton, pelanggaran itu menyebabkan pembonceng tercampak di bahu jalan sebelah kiri, manakala penunggang pula tercampak kira-kira 13 meter di bawah lereng bukit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dengan kaki kanan hampir putus manakala pembonceng patah kaki kanan dan dibawa ke Hospital Selayang.

“Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Fahmi di talian 014-3667353 untuk membantu siasatan.

Loading...

Leave a Reply