Portal berita terbaik anda

Utama

Banjir monsun tahun ini dijangka teruk dari tahun lepas

CYBERJAYA – Musim Monsun Timur Laut pada tahun ini dijangka menyebabkan banjir yang lebih teruk berbanding tahun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Beliau berkata, Monsun Timur Laut pada kali ini dijangka menyebabkan peningkatan hujan sebanyak 20 hingga 40 peratus daripada biasa.

“Tahun lepas tidak ada banjir langsung di Kelantan, tahun ini mungkin ada banjir,” katanya kepada pemberita selepas taklimat pengoperasian Pusat Kawalan Operasi Bencana bagi Monsun Timur Laut di Pusat Kawalan Bencana Negara di Pulau Meranti dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, MetMalaysia tidak menjangka keadaan banjir yang luar biasa pada tahun ini seperti banjir besar pada 2014 di Kelantan.

Pada 2014, bencana banjir besar di Kelantan mengakibatkan mangsa mencecah 100,000.

Menurutnya, Monsun Timur Laut dijangka berakhir pada Mac dengan musim hujan di Semenanjung diramalkan berakhir pada Januari, dan selepas itu Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan.

“Selepas Mac, fasa kedua Monsun Timur Laut akan berlaku dengan cuaca kering dan panas,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Zakaria Shaaban berkata, sebanyak 14 agensi yang terlibat dalam penyelarasan banjir menghadiri taklimat hari ini.

Antara agensi yang hadir ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem).

“Mulai hari ini, Nadma mengaktifkan pusat kawalan operasi banjir peringkat pusat sebagai langkah persediaan dan bersiap-siaga untuk hadapi Monsun Timur Laut dan banjir,” katanya.

Menurutnya, sehingga jam 4 petang hari ini, sembilan pusat pemindahan sementara banjir masih dibuka di tiga negeri dengan 1,542 mangsa.

Zakaria berkata, pusat kawalan operasi banjir akan menyelaras sebarang tindakan dan bantuan di lapangan berkaitan bencana banjir di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara, Zuraini Mohd Yusof berkata, pada masa ini banjir monsun belum lagi berlaku dan apa yang berlaku sekarang adalah banjir kilat.

“Sebab itu banjir yang berlaku tidak lama dan ada pusat pemindahan sementara yang sudah ditutup. Banjir Monsun Timur Laut dijangka bermula pertengahan November,” katanya. – Bernama

Loading...

Leave a Reply