‘Bangunlah Aishah, papa rindu nak dengar suara Aishah’

“BANGUNLAH Aishah… Papa dan mama rindu nak berbual dan dengar suara Aishah. Kami tahu Aishah seorang yang kuat.”

Itu bisikan Bazlan Rahim, 56, kepada anaknya, Nur Aishah Balqis Bazlan, 15, yang kini separuh koma selepas terbabit dalam kemalangan pada 17 April lalu.

Bazlan berkata, hari ini sudah hampir empat bulan anaknya itu berada dalam keadaan ‘tidur’ selepas terbabit dalam kemalangan dan sebahagian tempurung kepala sebelah kiri terpaksa dibuang untuk mengeluarkan darah beku.

“Hati ibu bapa mana tidak sedih melihat anak yang suatu ketika dulu manja selain aktif di sekolah kini menghabiskan masa ‘tidur’.

“Memandang saya hanya bekerja sendiri, segala keperluan Aishah bermula dari memberinya minum susu, membuang lampin pakai buang serta memandikannya diuruskan saya sementara isteri, Suzana Mariza Che Dir, 47, keluar bekerja.

“Setiap empat jam sekali, saya perlu memberikan Aishah susu khas yang dimasukkan melalui saluran tiub di hidungnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya Lorong Belakang Pejabat Pertanian di Kota Bharu, semalam.

Menceritakan semula kejadian yang menimpa anaknya itu, Bazlan berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggang bersama rakan sekolahnya terbabas di Jalan Sri Seribong ketika dalam perjalanan menghadiri kelas tambahan.

“Disebabkan kemalangan itu, hampir tiga bulan Aisyah berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan dalam tempoh itu sudah beberapa kali dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana jangkitan kuman.

“Bermula April hingga Jun lalu, episod kehidupan kami sekeluarga banyak dihabiskan di hospital sebelum Aishah dibenarkan pulang ke rumah pada 28 Jun lalu.

“Bagaimanapun selepas dua seminggu pulang ke rumah, Aishah sekali lagi dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan sebelum dia dibenarkan keluar pada 16 Julai lalu,” katanya.

Katanya, lebih menyedihkan lagi, anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail sepatutnya menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini.

“Jika Aishah sihat dan tidak terlantar seperti mana sekarang, mungkin pada waktu ini dia sedang sibuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan sebagai persediaan menduduki PT3.

“Walaupun berat hati melihat keadaan Aisyah, namun saya perlu menerima qada dan qadar dan doa kami sekeluarga untuk Aishah kembali sembuh seperti sedia kala tidak pernah putus.

“Setiap kali saya atau sesiapa saja yang bercakap dengannya, Aisyah memahaminya dan ada ketikanya air matanya mengalir seolah-olah seperti dia mahu memberitahu sesuatu,” katanya.

Bazlan berkata, selain sokongan ahli keluarga terdekat, rakan dan guru kepadanya anaknya itu selalu datang melawat dan bertanya khabar keadaan Aishah.

“Tanpa sokongan mereka, kami sekeluarga mungkin tidak kuat untuk menghadapi ujian ini,” katanya.

Loading...

Leave a Reply