Portal berita terbaik anda

Viral

Atuk pinjam motor kawan bawa tiga cucu terima bantuan kelengkapan sekolah

PARIT BUNTAR – Kerana kesempitan hidup, seorang lelaki terpaksa meminjam motosikal rakannya untuk membawa tiga cucunya ke program sumbangan kelengkapan persekolahan ‘Back To School’ anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong di sini semalam.

Kisah meruntun jiwa itu dikongsi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dalam laman Facebook beliau.

Hasnul Zulkarnain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri berkata, beliau mengetahui perkara itu apabila melihat seorang lelaki datang ke program tersebut menaiki motosikal membawa cucunya.

Menurutnya, penerima sumbangan persekolahan diminta hadir ke sebuah pusat membeli-belah di sini untuk memilih kelengkapan persekolahan masing-masing.

Katanya, beliau menyapa lelaki berkenaan yang bernama Pakcik Kassim yang menceritakan dia meminjam motosikal kenalannya semata-mata untuk membawa cucunya bagi menerima sumbangan.

“Luluh hati saya apabila dia kata pinjam motor orang untuk datang. Kalau saya tahu, sudah pasti saya sendiri yang datang ambil cucu-cucunya,” katanya.

Hasnul Zulkarnain yang juga Ketua Pemuda Amanah Nasional berkata, Pakcik Kassim menjaga tiga orang cucu setelah anak lelaki dan menantunya bercerai.

Menurutnya, anak lelaki Pakcik Kassim mengalami masalah kesihatan dan atas sebab demikian, anak lelakinya itu hilang kemampuan untuk menjaga anaknya.

Beliau berkata, oleh itu Pakcik Kassim berkorban mengambil tanggungjawab menjaga tiga cucunya.

“Pakcik Kassim kata demi cucu-cucu kesayangannya itu beliau sanggup berkorban apa sahaja. Ternyata Pakcik Kassim seorang datuk yang sangat bertanggungjawab walaupun diuji dengan serba kekurangan.

“Dalam program Back To School DUN Titi Serong, saya turut memilih ketiga-tiga orang cucu Pakcik Kassim sebagai penerima sumbangan.

“Sudah pasti saya akan terus membantu keluarga Pakcik Kassim. Semoga Pakcik Kassim akan terus kuat melalui ranjau kehidupan yang serba ujian. Saya akan terus membantu!,” katanya. – Perak Gazette

Loading...

Leave a Reply