Portal berita terbaik anda

Utama

‘Arwah ayah datang untuk jemput dia’ – Ibu gadis 200kg kongsi cerita sayu

SELEPAS lima bulan menderita penyakit misteri sehingga fizikalnya membesar dua kali ganda, Nur Izzati Afiqah Hussian, 29, menghembuskan nafas terakhir, 10.30 malam tadi.

Ibunya, Maheran Daud, 54, berkongsi cerita sedih sebelum pemergian anak perempuannya itu yang didakwa terkena buatan orang.

Beberapa jam sebelum arwah Afiqah dijemput Ilahi, dia sering memanggil arwah bapanya yang meninggal dunia sejak 16 tahun lalu sambil melambai tangan.

Maheran yang sudah berasa tidak sedap hati berkata, dia memberitahu bahawa bapanya sudah lama meninggal dunia, namun tidak diendahkan, malah Afiqah berkata bapanya datang untuk menjemputnya.

“Dia asyik memanggil arwah abahnya sambil melambai-lambai tangan dengan mengatakan arwah datang untuk menjemputnya, namun saya tidak bertanyakan ke mana kerana sudah dapat merasakan yang Afiqah akan dijemput Ilahi.

“Sambil itu kami semua membacakan surah Yasin di sebelahnya dan sebaik tamat, Afiqah menyuruh membaca (Yasin) sekali lagi dan dia mengikutinya perlahan-lahan,” katanya.

Maheran berkata, beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, anaknya juga ada mengadu rasa letih sebelum keluar sedikit ketulan darah beku dari duburnya dan dia merasakan ajal anaknya semakin hampir.

Katanya, sebaik Afiqah tidak sedarkan diri, imam segera dipanggil dan Afiqah sempat mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Kami segera menghubungi klinik kesihatan di sini yang datang tidak lama kemudian untuk mengesahkan waktu kematian anak saya.

“Saya reda dengan pemergian Afiqah walaupun hanya berselang enam bulan sahaja dari tarikh anak bongsu dijemput Ilahi yang mana simptom yang dialami mereka berdua sama,” katanya memberitahu arwah anaknya itu sering merenung wajahnya dan kakak sulung serta persekitaran rumah, seolah-olah sudah tahu akan meninggalkan mereka.

Maheran berkata, selepas kisah Afiqah dipaparkan di dalam akhbar baru-baru ini, ramai pengamal perubatan alternatif datang untuk cuba merawat anaknya dan keadaan Afiqah dilihat semakin baik kebelakangan ini.

“Saya perhatikan saiz fizikalnya yang asal hampir 300 kilogram ada menunjukkan penyusutan dan kaki kiri sudah boleh digerakkan sendiri serta dibengkokkan perlahan-lahan.

“Dia juga kerap memberitahu saya bahawa dia sudah reda dengan takdir yang menimpanya dan enggan lagi memikirkan sama ada ia perbuatan khianat (sihir) atau bukan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply