‘Saya akan ditidurkan, maafkan semua’ – Sempat muat naik status terakhir sebelum meninggal dunia

Sempat muat naik status di Facebook sebelum ditidurkan, akhirnya ia menjadi tulisan ‘terakhir’ sebelum pergi buat selama-lamanya.

Itulah yang berlaku kepada Allahyarham Muhammad Hanizam Azman yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19, semalam.

Hanizam, 30, atau lebih mesra dipanggil ‘Angah’ telah menulis satu ucapan ringkas di laman Facebooknya sebelum ditidurkan.

“Saya akan ditidurkan, maafkan semua,” katanya dalam status terakhir tersebut.

Pemergian Angah itu ditangisi ramai insan yang mengenalinya. Dalam masa sama, laman Facebooknya juga turut ‘dibanjiri’ dengan ucapan takziah daripada kenalan dan warganet.

Salah seorang kenalan, Azam Reddy mendakwa, pemergian arwah sangat mengejutkannya. Malah sebelum ini, dia pernah sempat bersembang dengan arwah melalui ruangan Chat di Facebook.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Walau tak pernah berjumpa tapi ada juga sembang di ruangan chat FB. Terkejut bila baca berita pemergian ni.

“Salam takziah buat keluarga Angah Bibh. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Selain itu, Adiff Sofiyan pula berkata, dia mula bersahabat secara maya bersama arwah sejak lapan tahun yang lalu. Katanya, dia sempat memohon maaf sejurus membaca status terakhir yang dimuat naik arwah.

“Menjadi rakan FB Angah Bibh sejak lapan tahun dahulu, malam tadi beliau post akan ditidurkan kerana COVID-19. Saya sempat minta maaf dan memberi kata semangat.

“Pagi ini dikejutkan beliau telah meninggal dunia. Salam takziah buat seluruh ahli keluarganya dan Al-Fatihah buat Allahyarham,” katanya.

Sementara itu, pengguna Facebook bernama Cda D’Vogue berkongsi, mereka berdua pernah bersahabat rapat dan turut menganggap arwah seperti adik kandungnya sendiri.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Pemergian seorang lagi sahabat merangkap adik yang selalu bergurau senda. Macam tak percaya dengan pemergian tapi Allah lebih sayangkan Angah Bibh (Nizam).

“Mohon semua sedekahkan Al-Fatihah dan doakan untuk arwah. Tenanglah dikau di sana dik. Allah lebih menyayangimu,” katanya yang juga turut berkongsi tangkap layar perbualan bersama arwah di aplikasi WhatsApp sebelum ini.

Mengimbas kembali, semasa hayatnya, arwah merupakan seorang penyanyi dan pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan pada 2009 dahulu.

Selain itu, arwah juga pernah dinobat sebagai johan Bintang Asli Remaja kategori lelaki yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) Kedah pada 2014 lalu.

Semoga Allahyarham Hanizam ditempatkan dalam kalangan roh orang-orang yang beriman. Salam takziah diucapkan. Al-Fatihah.

Sumber: FB Allahyarham Muhammad Hanizam

Loading...

Leave a Reply