Portal berita terbaik anda

Utama

‘Adik… papa dah tak nak masuk hospital’ – Anak Yazit kongsi perbualan terakhir dengan arwah

“JUMAAT lalu papa beritahu saya, dia tak mahu masuk hospital lagi,” kata Shafiqa Nurlis, 29, menjelaskan perbualan dengan bapanya, Yazit Ahmad.

Yazit, 57, yang koma dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Selasa lalu akibat kecederaan otak berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badan, menghembuskan nafas terakhir pada 11.53 pagi tadi.

Bekas pemain dram kumpulan Search itu sebelum ini berdepan masalah buah pinggang sejak 2009 dan beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Shafiqa berkata, kali terakhir bapanya dimasukkan ke HKL ialah pada 3 September lalu akibat kesukaran bernafas.

“Kami berbual pada Jumaat lalu dan papa berkata, adik lepas ini papa tak nak masuk hospital.

“Mungkin itu kali terakhir dia masuk hospital kerana sebelumnya dia pernah masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu. Papa kata, selepas ini dia nak berehat,” katanya.

Anak bongsu Yazit itu berkata, pada hari sama juga, dia turut membawa bapanya menikmati nasi ayam bagi memenuhi keinginannya.

“Sabtu dan Ahad lalu saya bekerja serta hanya bertemunya pada sebelah malam.

“Isnin lalu, saya agak hairan apabila papa seakan ambil berat dengan bertanya perkembangan kerja saya,” katanya.

Menurut Shafiqa, bapanya juga pernah berpesan kepadanya supaya menjaga ibunya dengan baik.

“Ini kerana hanya saya yang sihat dalam keluarga kami sebab abang (Shahmirnuri) pun ada masalah jantung.

“Saya kena jadi kuat walaupun sebenarnya belum kuat sangat. Saya tidak sambung belajar dan duduk dengan papa untuk menjaganya.

“Saya selalu tengok dia sakit, jatuh bangunnya. Susah senang saya dengannya tanpa orang luar tahu,” katanya.

Menurutnya, bapanya bertarung selama 10 tahun melawan penyakit dengan keadaan ekonomi serta kewangan yang mencabar.

“Papa seorang yang sangat kuat dan positif. Dia bercakap lemah lembut tapi tegas,” katanya.

Dalam pada itu, Shafiqa melahirkan perasaan terkejut kerana anggota kumpulan Search hadir menziarahi ayahnya di HKL.

“Walaupun tak diberitahu, pak cik Kid, Nasir dan Din datang malam tadi.

“Alhamdulillah, biar apapun yang terjadi selama ini antara mereka, itu hal dalam kumpulan. Apa yang penting silaturahim antara mereka tak pernah putus,” katanya.

Yazit meninggalkan isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38; Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29.

Jenazah Allahyarham Yazit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, pada 4.15 petang tadi.

Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Salehuddin Al Ayubi, Taman Melati untuk solat jenazah dan dihadiri ramai penggiat seni antaranya Datuk M Nasir, Datuk Awie, Datuk Ramli Sarip, Nizam Laksamana, Ameng Spring, Man Bai, Jojet, Awang BPR, Joe Primed dan Bagio Damasutra.

Loading...

Leave a Reply