Anak bertugas barisan depan negara, ayah pohon doa rakyat Malaysia

BALING – Dua anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris antara petugas kesihatan yang berada di barisan depan mengekang wabak COVID-19.

Menerusi satu perkongsian di Facebook hari ini, Abd Nasir menzahirkan ucapan tahniah kepada dua anaknya iaitu Dr Nur Hanisah dan Dr Hanan Melati.

“Tahniah anakanda Dr Nur Hanisah Nasir dan Dr Hanan Melati yang duduk barisan paling depan berhadapan pandemik Covid-19 dan sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain,” tulisnya hari ini.

Dr Hanisah (kanan) dan Dr Hanan

Abd Nasir ketika dihubungi berkata, kedua-dua anaknya itu sedang bertugas di Hospital Sungai Buloh yang dijadikan hospital khusus untuk penyakit COVID-19.

“Sebagai seorang ayah, saya bangga dengan tanggungjawab mereka yang berkorban untuk rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan hatinya bimbang dengan keselamatan dua anaknya, namun percaya Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM dalam menangani wabak ini berada di tahap tertinggi.

“Siapa yang tidak bimbang (dijangkiti), tetapi kita harap SOP KKM yang ketat dan langkah pencegahan dibuat…kita yakin semuanya dapat dilaksanakan dengan baik.

“Tetapi saya juga harapkan doa daripada rakyat Malaysia supaya semua petugas diberikan kekuatan dan dapat bertugas dengan sebaik mungkin,”katanya.

Dalam pada itu, Abd Nasir menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mencegah COVID-19 serta menitik beratkan aspek kebersihan.

Sumber: Rentas 7

Loading...

One Response

  1. Dr.Haji Rajiee Hadi. March 20, 2020

Leave a Reply