Portal berita terbaik anda

Utama

Ambil tindakan segera terhadap pencetus rusuhan kuil

KUALA LUMPUR – Gerakan Tuntut Malaysia mahu lima individu yang didakwa sebagai pencetus menyebabkan kemaraan ribuan orang India hingga mengakibatkan rusuhan dan pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada bulan November tahun lalu diambil tindakan di bawah Akta Hasutan.

Individu berkenaan adalah Exco Kerajaan Selangor, V. Ganabatirau yang bertanggung jawab mengeluarkan kenyataan jahat mendakwa orang Islam menyerang Kuil Sri Mariamman sehingga mempengaruhi 10,000 masyarakat Hindu keluar merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman pada malam Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dibunuh.

Empat lagi adalah dalam kalangan menteri iaitu M. Kulasegaran, P. Waytha Moorthy, Gobind Singh Deo dan Xavier Jayakumar.

Menteri-menteri ini didakwa mengeluarkan kenyataan bersama berbaur hasutan sehingga menyemarakkan lagi api kemarahan masyarakat Hindu untuk keluar berkumpul beramai-ramai merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman pada malam kedua yang telah mengakibatkan Adib dibunuh.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata, Gerakan Tuntut menyimpan segala bukti-bukti berbentuk kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa orang pemimpin kerajaan yang berbau hasutan pada hari sebelum berlakunya rusuhan itu hingga menghasut ribuan bangsa India berkumpul dan merusuh di tempat kejadian.

“Oleh itu, dengan prinsip Kedaulatan Undang-Undang negara kami mohon pihak berkuasa dapat menyegerakan siasatan serta tindakan terhadap penjenayah yang terlibat dan tertuduh secepat mungkin.

Exco Kerajaan Selangor, V. Ganabatirau

“Namun begitu, bagi kami tidak cukup hanya mendapatkan pesalah yang melakukan jenayah memukul Arwah Adib ini sehaja. Kami melihat perkara yang lebih serius adalah ‘siapa pencetus?’ sehingga membawa kemaraan ribuan bangsa India ke tempat kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hingga mengakibatkan rusuhan dan pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, seandainya perkara ini tidak diambil tindakan serius, gerakan itu percaya lebih ramai pemimpin-pemimpin yang berpengaruh akan melakukan perkara sebegini lagi dengan mengeluarkan kenyataan hasutan kepada kaum.

Ianya lebih bahaya apabila pemimpin yang berjawatan dalam kerajaan sendiri yang beranggapan seperti mereka ini berperisai untuk melakukan dan mengatakan apa sahaja tanpa memikirkan kesannya hingga akhirnya menutup kesilapan dengan memohon maaf atau pusing semula kenyataan yang telah dikeluarkan.

Gerakan Tuntut berkata, seandainya pencetus kejadian ini rasa bertanggungjawab, mereka perlu hadir ke balai polis bagi membantu polis melakukan siasatan dalam usaha mendapatkan siapa pesalah yang memukul Allahyarham Adib di tempat kejadian.

Namun, seandainya mereka tidak melakukan demikian dalam tempoh seminggu dari hari ini, Gerakan Tuntut akan bersama NGO-NGO lain turun ke pejabat mereka dan mendesak mereka untuk meletak jawatan.

Menurut A’zlan, akibat kesilapan hasutan mereka telah membawa tragedi hitam antara kaum. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply