Ain Husniza terima notis tuntutan fitnah RM1 juta

Pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam yang sebelum ini tular kerana mendedahkan gurauan rogol oleh guru sekolahnya di aplikasi media sosial TikTok mengakui telah menerima notis tuntutan berjumlah RM1 juta.

Kata Ain Husniza menerusi perkongsian di laman Instagramnya, dia dituntut untuk membayar jumlah berkenaan dalam tempoh tujuh hari sebagai ganti rugi kenyataan yang telah dibuat olehnya terhadap guru terbabit.

“Hari ini, secara tiba-tiba semasa kelas atas talian berlangsung, saya menerima tuntutan (RM1 juta) berkenaan kenyataan saya yang didakwa sebagai ‘fitnah,’ kata remaja perempuan berusia 17 tahun itu.

Ain bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik kenyataan yang berkaitan dengan tuntutan yang difailkan oleh guru itu.

Bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab berkata tuntutan itu difailkan ke atas kenyataan yang dibuat oleh Ain menerusi webinar, kenyataan akhbar dan media.

“Guru itu letak nama Ain, nama saya (bapa) dan isteri saya yang menyatakan buat fitnah ke atas dirinya menerusi webinar, kenyataan akhbar dan media.

“Dia menuntut untuk menarik balik, membuat permohonan maaf dan bayaran ganti rugi sebanyak RM1 juta,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Ain dalam masa yang sama meminta orang ramai untuk mendoakan segala urusan berkenaan hal ini dipermudahkan dan berterima kasih atas segala sokongan yang diberikan kepadanya dan keluarga.

Terdahulu, Ain Husniza pernah tular kerana membuat kenyataan yang mendedahkan gurauan rogol yang dibuat oleh gurunya di dalam kelas.

Loading...

Leave a Reply