Portal berita terbaik anda

Politik

Ahli UMNO boikot majlis pengumuman calon BN

PONTIAN – Ahli UMNO dikatakan memboikot majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng malam ini.

Tinjauan pada majlis itu mendapati hampir 90 peratus kehadiran hadirin di Rumah UMNO Pontian sejak jam 7.30 malam adalah dalam kalangan ahli MCA.

Sumber berkata, hampir keseluruhan Peti Daerah Mengundi (PDM) serta jentera BN di Parlimen Tanjung Piai yang digerak dan dikuatkan daripada kalangan ahli UMNO kawasan berkenaan kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan yang tidak mendengar hasrat serta suara hati majoriti pengundi.

“Kira-kira 75 peratus ahli UMNO yang menjaga PDM BN Parlimen Tanjung Piai memboikot majlis pengumuman calon BN malam ini.

“Walaupun ada Bahagian serta beberapa pemimpin UMNO cuba memujuk ahli akar umbi untuk hadir, kekecewaan kami pasti mengambil masa untuk hilang.

“Malam ini juga hampir keseluruhan PDM Parlimen Tanjung Piai akan mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan isu jentera PRK,” katanya.

Jeck Seng yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) PRK Parlimen Tanjung Piai. Pengumuman dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad di Rumah UMNO Pontian, di sini.

Yang turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Setiausaha Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Loading...

Leave a Reply