Portal berita terbaik anda

Politik

Abah janji adakan PRU selepas Covid-19 pulih

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau tidak berniat untuk menghalang daripada berlakunya pilihan raya, walaupun menerima desakan pelbagai pihak.

“Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan ialah pandemik Covid-19.

“Keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya semasa pandemik Covid-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs.

“Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Ketua Kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada jangkitan Covid-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam,” katanya dalam pengumuman khas darurat yang disiarkan menerusi stesen televisyen, hari ini.

Muhyiddin turut memberi komitmen yang tegas bahawa PRU akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak Covid-19 sudah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan.

“Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian. Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.

Beliau turut menegur ahli politik supaya hanya berpolitik apabila tiba masanya dan penuh tanggungjawab.

Loading...

Leave a Reply