41 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini, semuanya dari kluster perhimpunan tabligh

SEBANYAK 41 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan kesemuanya berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, antara 27 Februari hingga 3 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada kenyataan hari ini berkata, kesemua kes baharu yang disahkan itu adalah dalam kalangan pesakit di bawah pengawasan (PUI) membabitkan 37 kes dan empat kes kontak rapat kes Covid-19.

Katanya, dengan pertambahan 41 kes baharu itu, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 238 kes.

“Sehingga kini, 203 kes masih dirawat di wad dengan lima daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes-kes ini juga diberikan rawatan anti-viral. Sehingga 14 Mac 2020, 1,321 sampel daripada pesakit ‘influenzalike-illness’ (ILI) dan ‘severe acute respiratory infection’ (SARI) sudah diuji di IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), semua makmal kesihatan awam dan hospital.

“Setakat ini, tiga sampel positif jangkitan Covid-19. Kesemua kes positif ini berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham menasihati orang awam untuk kekal tenang dan mengelak sama sekali untuk menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan perhimpunan tabligh itu demi menjaga keharmonian umum.

Katanya, mereka perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini perkembangan jangkitan Covid-19 daripada kenyataan media dan pengumuman yang dikeluarkan oleh

Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, dua kes iaitu kes ke-35 dan kes ke-61 yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini sudah pulih dan dibenarkan keluar daripada wad Hospital Sungai Buloh.

Katanya, ini menjadikan 35 kes sudah pulih sepenuhnya setakat ini daripada Covid-19 dan dibenarkan keluar daripada wad.

Loading...

Leave a Reply